SOLUSI PEWARISAN

Pewarisan - Pusaka - Faraid - Hibah - Wasiat - Harta Sepencarian - Pengurusan Harta Pusaka - Pusaka Kecil - Pusaka Besar - Solusi Harta Pusaka

TARIK BALIK HIBAH SELEPAS QABD (PENYERAHAN BARANG HIBAH)

Penarikan balik hibah yang telah sempurna dengan qabd oleh penerima hibah selain dari hibah seorang bapa kepada anaknya juga telah menjadi perselisihan fuqaha tentang keharusan.

Perselisihan tersebut terbahagi kepada tiga pendapat. Pendapat pertama yang merupakan pendapat mazhab Shafi’i, Hambali, Abu Thauri, Ibn Hazm, Daud al-Zahiry dan sabahat- sabahatnya. Mereka berpendapat bahawa hibah yang telah sempurna tidak harus bagi pemberi hibah menarik balik hibahnya. Mereka berhujah dengan dalil-dalil berikut:

1. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian…” (Surah al-Ma’idah (5): 1) ditarik balik.

Hibah merupakan akad yang wajib ditunaikan dan tidak harus ditarik balik.

II. Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang menarik balik hibahnya seperti anjing yang muntah kemudian memakan muntahnya kembali.”

III. Sabda Rasulullah SAW lagi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar:

“Tidak halal bagi seseorang yang memberi hibah menarik balik hibahnya kecuali hibah bapa kepada anaknya.”

Rasulullah SAW menyamakan penarikan balik hibah dengan satu gambaran yang teruk yang di luar tabiat semula jadi manusia yang baik iaitu gambaran seperti anjing yang menelan semula muntahnya.

Pendapat kedua pula merupakan pendapat mazhab Hanafi, Imamiyyah dan Zaydiyyah bahawa sekiranya hibah itu diberikan kepada ajnabi dan telah sempurna pemberian hibah dengan qabd oleh penerima hibah, maka tidak terhalang pemberi hibah daripada menarik balik hibah yang telah diberikan. Kecuali jika terdapat salah satu daripada perkara yang menghalang penarikan hibah.

Sungguhpun begitu, menurut fuqaha mazhab Hanafi ia makruh dan tidak digalakkan. Perkara-perkara yang menghalang penarikan balik hibah

menurut mazhab Hanafi adalah seperti di bawah:

1. Berlaku pertambahan yang tidak boleh dipisahkan pada barang yang dihibah sama ada disebabkan oleh perbuatan penerima hibah atau orang lain.

Sebagai contoh, penerima hibah menambah binaan baru ke atas rumah yang dihibahkan kepadanya ataupun penerima hibah menjahit kain yang dihibahkan kepadanya menjadi baju kemeja.

2. Pertambahan tersebut tidak termasuk pertambahan nilai kerana pertambahan nilai tidak menjejaskan barang yang dihibah kekal pada bentuk asalnya.

3. Begitu juga jika pertambahan itu berasingan atau sesuatu yang boleh diasingkan daripada barang asal yang dihibahkan seperti buah dari kebun yang dihibahkan kerana pemberi hibah boleh menarik balik hibah kebun tersebut manakala buah hasil kebun menjadi milik penerima hibah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *