Hibah ruqba adalah hibah bersyarat yang mana pemberi hibah mensyaratkan bahawa harta hibah hanya dipindahmilik kepada penerima hibah selepas pemberi hibah meninggal dunia. Ini adalah kerana, jika penerima meninggal lebih awal sebelum pemberi, harta hibah kembali kepada pemberi, maka pendaftaran harta tak alih kekal atas nama pemberi.
Contohnya pemberi hibah berkata: “Aku hibahkan rumah itu kepada kamu. Tetapi pendaftaran rumah itu selepas aku mati. Kalau kamu mati dulu, rumah itu kembali jadi rumah aku, bukan milik waris kamu.”
Manakala hibah ‘umra adalah hibah bersyarat yang mana pemberi hibah mensyaratkan bahawa penerima hibah boleh memanfaatkan harta hibah selama mana pemberi hibah masih hidup dan/atau penerima hibah masih hidup.
Jika penerima hibah meninggal, harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Jika pemberi hibah meninggal, harta hibah akan jatuh kepada waris pemberi hibah.
Contohnya, pemberi hibah berkata: “Aku hibahkan rumah itu untuk kamu sementara aku atau kamu hidup. Kalau aku mati, rumah itu jadi pusaka untuk waris aku. Kalau kamu mati dulu, rumah itu jadi milik aku kembali.”
Dalam kedua-dua kes di atas, mazhab Shafi’i dan Hambali mengatakan bahawa hibah itu sah, tetapi syaratnya terbatal.
Manakala mazhab Maliki dan Hanafi mengatakan bahawa hibah ruqba dan ‘umra adalah sah dan syaratnya terpakai.