Di dalam al-Quran terdapat dua bentuk ayat yang berkaitan dengan pusaka iaitu ayat mujmal dan ayat mufassal. Ayat-ayat kategori pertama menjelaskan hak-hak ahli waris secara umum tanpa menentukan bahagian mereka secara terperinci. Manakala ayat-ayat kategori kedua iaitu ayat al-mawarith, Allah s.w.t telah menjelaskan secara terperinci ahli-ahli waris dan kadar bahagian atau saham mereka masing-masing.
Di antara ayat berbentuk mujmal, Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)” (al-Quran, al-Nisa’ 4:7).
Dalam ayat al-mawarith, Allah s.w.t telah menerangkan secara terperinci mengenai ahli waris-ahli waris dan bahagian mereka masing-masing dalam pusaka iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah 2/3 dari harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah 1/2 (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati) tiap-tiap seorang dari keduanya 1/6 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah 1/3. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah 1/6. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutang. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa yang di antaranya lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu, (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti diterangkan ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (al-Quran, al-Nisa’ 4: