SOLUSI PEWARISAN

document, agreement, documents-428336.jpg

WASIAT KEPADA WARIS

Terdapat beberapa ulama’ yang tidak mebenarkan pembahagian harta secara wasiat kepada waris sendiri walaupun dengan izin waris faraid yang lain kerana mereka berpegang kepada zahir hadis yang melarang perbuatan tersebut. Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ membenarkan wasiat pembahagian harta kepada waris sekiranya mendapat izin daripada waris faraid yang lain.

Cumanya perlu diingat tentang keizinan waris faraid yang lain itu hendaklah dikira selepas kematian pewasiat. Ini adalah kerana status sama ada seseorang waris itu adalah waris faraid atau bukan waris faraid hanyalah muktamad apabila pewasiat meninggal dunia, bukan berdasarkan waktu wasiat itu dibuat.

Oleh itu timbullah perbahasan tentang wasiat kepada waris, kemudiannya menjadi bukan waris, dan perbahasan tentang wasiat kepada bukan waris, kemudiannya menjadi waris.

Walau bagaimanapun, di sana terdapat pandangan ulama’ yang tetap mengatakan bahawa wasiat pembahagian harta kepada waris faraid tetap sah walaupun tanpa izin waris faraid yang lain asalkan hadnya tidak melebihi dari satu per tiga (1/3) daripada nilaian keseluruhan harta.

Apa yang lebih menariknya ialah, Negeri Selangor pada tahun 1999 telah menerima pandangan ini, walaupun dikatakan pandangan ini adalah berasal dari pandangan Syiah.

Kemudian penderafan yang sama telah diikuti oleh Negeri Sembilan pada tahun 2004, Melaka pada tahun 2005, dan Kelantan pada tahun 2009. Ketiga-tiga negeri ini membenarkan wasiat kepada waris pada kadar 1/3 harta walaupun tanpa izin waris faraid yang lain.

Mungkin kerana menyedari bahawa pembaharuan ini menimbulkan sedikit kontroversi, maka Negeri Selangor pada tahun 2016 telah membuat pindaan pada Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (Pindaan 2016) dengan membuang terus seksyen 26(2).

Seksyen 26(2) inilah yang membawa maksud secara tersirat bahawa wasiat kepada waris adalah dibenarkan walaupun tanpa izin waris faraid yang lain asalkan tidak melebihi kadar satu per tiga (1/3) harta.

Oleh sebab Negeri Selangor telah mengambil pendekatan menarik brek tangan (hand brake) berkenaan isu ini, maka Negeri Pahang pada tahun 2017 semasa meluluskan Enakmen Wasiat Orang Islam Pahang 2017 telah mengambil pendapat sebagaimana Negeri Selangor selepas pindaan dengan tidak membenarkan wasiat kepada waris tanpa izin waris faraid yang lain walaupun nilaian harta kurang satu per tiga (1/3).

Apa yang lebih menarik lagi ialah, pada tahun 2018 apabila Negeri Sabah meluluskan Enakmen Wasiat Orang Islam Sabah 2018, Negeri Sabah tidak pula mengikut apa yang diluluskan oleh Negeri Selangor dan Pahang, sebaliknya mengekalkan apa yang diluluskan sebelum itu di Negeri Sembilan, Melaka, dan Kelantan. Negeri Sabah nampaknya lebih cenderung untuk membenarkan wasiat kepada waris pada kadar satu per tiga (1/3) harta walau pun tanpa izin dari waris faraid yang lain.

Bagi penulis, pembaharuan undang-undang yang membenarkan pembahagian harta melalui instrumen wasiat kepada waris pada kadar satu per tiga (1/3) harta, walau pun tanpa izin waris faraid adalah satu pembaharuan yang positif.

Kita hendaklah mengambil pendapat ulama’ yang lebih sesuai dengan situasi masyarakat pada hari ini. Tindakan negeri Selangor yang meminda seksyen 26(2) bagi penulis, adalah tindakan mengundur ke belakang, atau tindakan u-turn yang kurang menguntungkan umat Islam.

Pindaan yang wajib dibuat oleh Negeri Selangor adalah pada seksyen 27(2) dan seksyen 27(3) berkaitan wasiat wajibah, dan Alhamdulillah, ini sudah pun dibuat lantaran kesilapan yang jelas dan nyata.

Pindaan pada takrifan ‘marad al-maut’ itu juga adalah satu pindaan yang penulis puji. Cumanya pindaan tentang isu wasiat kepada waris pada Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (Pindaan) 2016 bagi penulis, adalah satu pindaan yang menunjukkan seolah-oleh Negeri Selangor masih belum berani bertindak secara proaktif.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *