Rakaman audio/video memang tiada pada zaman Nabi SAW. Sifat Islam itu yang murunah (anjal) dan meraikan zaman, menjadikan rakaman audio/video memang diterima sebagai bahan bukti di mahkamah. Seksyen 301) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 mentakrifkan dokumen sebagai:
“dokumen” ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dolom cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan
(c) apa-apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik, mekanikal atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dedenyut elektronik atau apa jua pun data yang lain;
Di dalam misalan dinyatakan lagi secara jelas sebagaimana berikut:
Rakaman pita komunikasi telefon, termasuklah rakaman komunikasi sedemikian yang dipancarkan dari suatu jarak, ialah dokumen. Ternyata rakaman audio boleh dikategorikan sebagai documentary evidence atau kitabiyyah. Pembuktian yang diperlukan hanyalah keterangan bayyinah dari dua orang saksi. Secara alternatif, audio/video rakaman wasiat juga mungkin boleh dikategorikan sebagai wasiat secara lisan.
Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 dalam seksyen 3 menyatakan seperti berikut:
Wasiat boleh dibuat dengan lisan, tulisan, atau isyarat.
(1) Sesuatu wasiat boleh dibuat dengan lisan atau tulisan dan jika orang yang hendak membuat wasiat itu tidak dapat melakukan sedemikian, wasiatnya bolehlah dibuat dengan cara isyarat yang boleh difahami.
(2) Sesuatu wasiat lisan atau wasiat dengan isyarat hendaklah dibuat di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh diterima sebagai saksi menurut Hukum Syarak.
Seksyen 4 pula menyebut tentang Pembuktian wasiat.
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), tiada apa-apa tuntutan tentang keesahan sesuatu wasiat selepas matinya seseorang pewasiat boleh diterima oleh Mahkamah melainkan ianya disokong oleh dokumen-dokumen yang ditulis atau ditandatangani oleh pewasiat
(2) Jika terdapat halangan yang besar yang menghalang pengemukaan keterangan dokumentar yang disebut dalam subseksyen (1), wasiat itu bolehlah dibuktikan melalui keterangan oleh dua orang saksi.
Berdasarkan hujahan di atas, saya berpandangan bahawa wasiat dalam bentuk rakaman audio/video adalah sah asalkan terdapat pembuktian pada tahap bayyinah yang boleh mengesahkannya.