Ulama’ berbeza pendapat tentang hibah harta yang masih dalam gadaian. Mazhab Shafi’i mengatakan hibah harta yang masih dalam gadaian adalah tidak sah.
Hujah utama ialah tentang pemilikan harta hibah itu sendiri yang dikatakan sebagai pemilikan tidak sempurna. Apabila sesuatu harta itu masih dalam gadaian, pemilik harta masih tidak bebas untuk melakukan transaksi atas harta tersebut.
Memang pemilik harta boleh ubahsuai, boleh sewakan dan kutip hasil dari harta tersebut. Semua transaksi tersebut tidak memprejudiskan kepentingan pemegang gadaian, selalunya bank. Tetapi pemilik harta tidak boleh memindahmilik harta tersebut sehingga tebus hutang diselesaikan terlebih dahulu.
Memandangkan hibah adalah pindahmilik kepentingan atau manfaat, dan pindahmilik sesuatu harta dari segi penguasaan dan kebebasan menggunakan harta, maka status pemilikan harta itu sendiri pada awalnya mestilah pemilikan sempurna.
Jadi, syarat ini tidak dipenuhi dalam kes hibah harta dalam gadaian menjadikan hibah kategori ini sebagai hibah yang tidak sah.
Hal ini berlainan dari sudut pandangan mazhab Maliki, dan Hanafi yang melihat tentang pemilikan sempurna bukan pada tahap atau semasa ijab kabul hibah. Pemilikan sempurna hendaklah dilihat semasa penyerahan pemilikan harta hibah iaitu selepas pemberi hibah meninggal dunia Apa yang berlaku adalah, harta hibah yang masih dalam gadaian tadi akan ditebus hutang oleh takaful.
Pemilikan sempurna telah berlaku selepas proses tebus hutang, jadi hibah adalah sah kerana selepas itu penerima hibah akan memiliki harta hibah, memanfaatkan harta hibah, menguasa harta hibah tanpa sekatan, dan boleh melakukan apa-apa transaks secara bebas atas harta hibah.
Jadi, segala syarat hibah akhirnya dipenuhi menjadikan hibah harta dalam gadaian adalah sah. Persoalan juga timbul tentang kedudukannya di sisi undang- undang di Malaysia.
Di negara kita, tiada statut yang mengawal perundangan tentang hibah. Hanya hibah takaful sahaja yang disebut dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 menjadikannya hibah yang sah dan berkuatkuasa di sisi undang-undang.
Selain daripada hibah takaful, hibah-hibah bersyarat yang lain masih bergantung kepada ijtihad hakim-hakim syarie sama ada hendak menghukumkannya sebagai sah atau tidak sah.
Hal ini tidaklah menghalang orang ramai dari membuat atau melaksanakan hibah bersyarat. Cumanya, masyarakat perlu faham letak duduk khilaf, dan status perundangan dalam negara kita berkaitan isu ini.
ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ. Sekiranya harta dalam gadaian LPPSA, dihibahkan.. pemberi hibah masih hidup dan bayaran ansuran kepada LPPSA masih ditolak dari akaun si pemberi hibah. Adakah hibah begini termasuk dalam hibah yang sah dibawah mazhab Maliki atau Hanafi? Untuk makluman, penerima hibah telahpun membuat pendaftaran di pejabat tanah? Adakah hibah begini masih boleh dibatalkan? Atau sah?
Macamana penerima hibah buat pendaftaran kalau masih dalam gadaian? apa maksud Puan penerima hibah telah membuat pendaftaran di pejabat tanah?