Tanah FELDA tertakluk kepada Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Mengikut akta tersebut, turunmilik akibat kematian hanyalah dibenarkan seramai dua (2) orang waris sahaja, walaupun waris faraid si mati mungkin melebihi dua orang.
Atas faktor ini, ada yang menganggap bahawa pewarisan tanah FELDA adalah bercanggah dengan faraid, dan sekaligus bercanggah dengan hukum syarak. Jangan mudah menuduh melulu-lulu saudara dan saudari.
Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita dahulu sebelum membentangkan Rang Undang-undang Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) sudahpun mendapat nasihat dari para mufti mengenai hal ini. Tun Abdul Razak berkata, undang-undang ini dibuat atas asas siyasah syar’iyyah bagi menjaga maslahah atas tanah yang diusahakan supaya sentiasa berdaya maju.
Apabila peneroka FELDA telah menandatangani perjanjian dengan pihak kerajaan, maka pihak-pihak yang terlibat hendaklah patuh kepada terma dan syarat perjanjian. Oleh sebab itulah terdapat banyak sekatan kepentingan atas tanah FELDA yang bertujuan menjaga kepentingan kedua-dua pihak yang berkontrak.
Atas faktor inilah juga tanah FELDA dikategorikan sebagai milk al-naqis (pemilikan tidak sempurna). Oleh sebab pemilikan tidak sempurna, suratcara hibah yang melibatkan tanah FELDA walaupun dipersetujui oleh semua waris adalah tidak sah selagi tiada kebenaran pihak FELDA.
Begitu jugalah bagi kes wasiat kepada bukan waris adalah tidak sah kerana Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak membenarkan pindahmilik tanah FELDA dibuat kepada bukan waris. Pewarisan tanah FELDA sememangnya masih selari dengan hukum faraid sebab waris faraid masih mendapat manfaat atau hasil dari tanah pusaka FELDA.
Jika waris tiada persetujuan tentang permohonan turunmilik akibat kematian, waris hendaklah bersetuju untuk melantik pentadbir antara seorang hingga empat (4) orang di antara mereka. Inilah yang selalunya berlaku. Dalam perintah perlantikan pentadbir (Borang F), selalunya unit pusaka kecil akan melampirkan senarai waris yang berhak atas harta si mati bersama bahagian mereka, sama ada mengikut persetujuan muafakat, atau mengikut kiraan faraid.
Pentadbir bertanggungjawab membahagikan hasil atau manfaat tanah FELDA kepada semua waris mengikut perintah bicara pusaka. Maka hak waris masih diiktiraf mengikut hukum syarak. Sekiranya pentadbir yang dilantik gagal menjalankan tugas, satu permohonan ulang bicara (Borang P) boleh dipohon oleh waris bagi melantik pentadbir yang baru.
Satu perintah perlantikan pentadbir yang baru akan dikeluarkan (Borang F beserta Borang T) oleh unit pusaka kecil. Jika terdapat kekhilafan dalam perintah bicara pusaka, pihak-pihak boleh sama ada membuat permohonan ubah perintah, atau membuat rayuan ke mahkamah tinggi sivil, atau memohon satu permohonan semakan kehakiman bergantung kepada fakta kes.
Wallahu a’lam.