SOLUSI PEWARISAN

ISU FEKAH HARI INI

(BAGAIMANA BAHAGIAN FARAID BAGI BAYI DALAM JANIN?)

Bayi dalam kandungan/janin berhak mewarisi harta pusaka dengan syarat memang sah bayi tersebut sedang dikandungkan sewaktu si mati meninggal (walaupun berusia sehari), dan dia sempat hidup sewaktu dilahirkan (walaupun untuk beberapa saat).

Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila seorang bayi sudah menangis, maka ia berhak mendapat warisan, ” Untuk menetapkan kewujudan bayi di dalam kandungan ibunya, maka perlulah dilihat daripada:

1. Perbezaan waktu antara akad nikah dengan kelahiran anak tersebut;

2. Perbezaan waktu perceraian dengan kelahiran anak tersebut.

Para ulama bersepakat bahawa perbezaan waktu kandungan mestilah berusia enam (6) bulan dan ke atas.

Bagi bahagian waris yang tidak terjejas sama ada bayi tersebut hidup atau meninggal sewaktu dilahirkan, bahagian pusaka bagi waris tersebut boleh dibahagikan. Tetapi bagi bahagian yang ada kemungkinan perubahan pengiraan bergantung kepada hidup atau mati janin atau kebarangkalian jantina lelaki atau wanita janin, maka simpanlah bahagian paling maksima atas kebarangkalian- kebarangkalian pengiraan supaya hak janin tetap terpelihara.

Mahkamah syariah di Malaysia akan menangguhkan bicara bagi permohonan pengesahan waris jika fakta menunjukkan bahawa semasa si mati meninggal, wujudnya janin yang sedangkan dikandungkan oleh isteri si mati, sehinggalah janin tersebut dilahirkan, atau disahkan meninggal dalam kandungan.

Perlu diingat bahawa kes bayi dalam kandungan tidak boleh disamakan dengan kes waris hilang kerana dalam kes waris hilang, kita sudah mengetahui dengan jelas tentang jumlah waris yang hilang dan jantina mereka. Jadi, bahagian waris yang hilang boleh terus dikira dan disimpan.

Namun, dalam kes bayi dalam kandungan, kita masih tidak boleh mengesahkan secara tepat tentang bilangan mereka (seorang atau mungkin kembar), dan kita juga tidak boleh mengesahkan dengan tepat tentang jantina mereka.

Walaupun terdapat teknologi moden yang boleh melihat keadaan janin dalam kandungan, hak pewarisan janin tersebut hanya boleh disahkan apabila janin tersebut selamat dilahirkan dan disahkan sempat hidup.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *