Kebanyakan golongan berharta hari ini memang ada berniat untuk menghibahkan atau menghadiahkan harta kepada orang-orang yang mereka kasihi.
Walau bagaimanapun, mereka ini takut untuk terus menyerahkan hakmilik kepada orang-orang tersebut.
Mereka bimbang kalau-kalau harta tersebut akan disalahgunakan atau mereka akan dipinggirkan sekiranya harta tersebut telah dipindah milik keseluruhannya.
Ini membuatkan mereka meletakkan syarat yang pindahmilik tersebut cuma akan terlaksana selepas kematian mereka.
Atas dasar inilah, produk hibah yang tidak disusuli dengan pendaftaran pindahmilik antara pemberi hibah dengan penerima hibah, semakin mendapat sambutan.
Secara umumnya, segala syarat yang dikaitkan dengan akad, mengikut mazhab Syafi’e, hibah adalah sah, tetapi syarat adalah terbatal.
Walau bagaimanapun, mazhab Maliki membolehkan hibah bersyarat asalkan syarat tersebut tidak bercanggah dengan syarak dan tidak bercanggah dengan tujuan akad hibah.
Dari segi statut, hanya Negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Hibah Negeri Kelantan 2022. Seksyen 9(3) menyatakan: ”Apa-apa syarat yang dikenakan pada sighah sesuatu hibah adalah terbatal tanpa menjejaskan kesahan sesuatu hibah.”
Walaupun begitu, saya tidak kata yang hibah bersyarat ini langsung tidak boleh dibuat. Terdapat cara dokumentasi yang boleh dideraf bagi mencapai maksud pihak-pihak yang berakad asalkan syarat yang dipersetujui tidak bercanggah dengan syarak, dan tidak bertentangan dengan tujuan akad hibah itu sendiri. Pindahmilik bukanlah satu kemestian dalam hibah.
Buatlah dokumen hibah (walaupun dengan syarat sekalipun – jika perlu), asalkan pihak-pihak faham kedudukannya dari segi hukum, dan status perundangannya di negara kita.
Buatlah dengan ikhlas, bukan niat untuk berhelah.
Yang berkempen pula, niatlah sebagai mencelikkan masyarakat tentang instrumen perancangan harta bagi maslahah keluarga pelanggan, bukannya berkempen asal ada masuk pendapatan untuk aku tanpa mempedulikan pemahaman sebenar masyarakat tentang instrumen perancangan harta.