SOLUSI PEWARISAN

ADAKAH ADAT PERPATEH BERCANGGAH DENGAN HUKUM SYARAK?

Memang terdapat perbezaan dalam sistem perwarisan tanah adat terutama dari segi ahli waris yang berhak dan bahagian ahli waris tersebut. Walau bagaimanapun, pemakaiannya hanyalah terbatas di bawah Enakmen Pegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960.

Sebenarnya tanah pusaka adat boleh dikategorikan sebagai wakaf khas atau konsep tanah amanah, dan konsep ini selari dengan hukum syarak. Dalam adat perpateh, prinsip utamanya ialah menjaga kepentingan suku.

Suku merujuk kepada kepada satu unit sosial, dan bukannya satu unit keluarga. Oleh hal yang demikian, segala peraturan yang berkaitan dengan tanah adat dibentuk untuk memastikan bahawa tanah adat tersebut adalah kekal milik suku tersebut. Objektif utama adat perpateh adalah untuk memastikan kelangsungan suku melalui anggota wanita mereka, dan untuk menghalang kemasukan suku asing dalam pemilikan tanah adat.

Justeru, anggota wanita mereka sentiasa terbela oleh suku masing-masing. Terdapat empat (4) prinsip asas dalam pembahagian tanah adat dalam adat perpateh seperti berikut:

a. Semua tanah adat adalah milik suku, bukan milik individu;

b. Tanah adat yang sudah menjadi milik suku akan diwariskan kepada suku selama-lamanya;

c. Tanah adat akan diwariskan kepada anggota wanita mengikut suku masing-masing; dan

d. Semua tanah adat adalah dikhaskan untuk waris tertentu sahaja dan waris ini khas kepada waris wanita sahaja.

Ini bermakna, anggota wanita dalam sesuatu suku hanya sebagai pemegang amanah bagi suku mereka, bukannya pemilik tanah adat dari segi hakikatnya. Dari segi peraturannya, apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, lelaki tersebut telah masuk kepada suku isterinya. Jadi, anak perempuan mereka dikira sebagai anggota wanita mengikut suku ibunya dan berhak mewarisi tanah adat yang diwarisi oleh ibunya.

#solusipewarisan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *